Tan Sri Tony Fernandes Lancar Autobiografi

Written by Haadi Bakar on . Posted in Events, Kurapak & Co.

Kuala Lumpur, Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes telah melancarkan autobiografinya yang memaparkan kisah perjalanannya dalam industri muzik hingga ke industri penerbangan.

Autobiografi beliau yang bertajuk Flying High: My Story From AirAsia to QPR telah dilancarkan pada Ahad lalu di dalam satu majlis gala di Marini’s On 57 di Kuala Lumpur, berlatarkan Menara Berkembar Petronas.

Flying High memaparkan kisah perjalanan kehidupan Tan Sri Tony Fernandes daripada seorang remaja yang membesar di Malaysia dan seorang pelajar yang bercita-cita tinggi di luar negara, hingga beliau bekerja di syarikat Warner Music dan akhirnya menjadi pengasas AirAsia – semuanya diceritakan dengan pelbagai kenangan peribadi.

Autobiografi ini berkisarkan beliau sebagai seorang pemimpin perniagaan yang luar biasa yang mengasaskan syarikat penerbangan tambang rendah Asia pertama, seterusnya mendemokrasikan perjalanan udara dan menjadikan AirAsia sebuah syarikat yang menjana keuntungan hingga berbillion ringgit.

“Flying High menceritakan tentang kekuatan impian. Apabila saya dan Datuk Kamarudin memulakan AirAsia, kami mendapat pelbagai tentangan. Mereka berkata impian kami tidak akan tercapai dan bayangkan jika kami mengalah, sudah tentunya buku ini tidak akan terhasil,” kata Tan Sri Tony Fernandes di sidang media semasa upacara pelancaran bukunya.

“Buku ini adalah bukti bahawa impian boleh menjadi kenyataan, dan saya harap ia akan menggalakkan orang ramai untuk mengejar impian mereka. Percaya kepada cita-cita anda dan jangan sesekali mengalah. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya, sekurang-kurangnya anda telah mencuba dan teruskan usaha kerana hanya anda yang boleh menentukan kisah hidup sendiri,” tambah beliau.

Flying High yang berharga RM86.95 (termasuk GST) kini boleh didapati di semua kedai buku utama di Malaysia, serta boleh di pra-tempah dan didapati di bigdutyfree.com dan juga dalam pesawat AirAsia bermula 6 November 2017.

Ketahuilah apa yang mendorong Tan Sri Tony Fernandes untuk mencapai cita-citanya dan detik-detik yang memberi inspirasi kepadanya, termasuklah pertemuan dengan pengasas Kumpulan Virgin, Sir Richard Branson yang akhirnya membuka peluang kepada kerjaya pertama beliau selepas tamat universiti.

Pelancaran autobiografi Flying High dihadiri oleh Pengasas Bersama AirAsia dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kamarudin Meranun; Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Malaysia, Dato’ Fam Lee Ee; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Thailand, Tassapon Bijleveld; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan; dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India, Amar Abrol.